Untuk Posting Terkini Sila 'Scroll' Ke Bawah

Ingin Menyambung Diploma di Kolej Islam Unik, Daftar di sini

Kolej Dar Al Hikmah menawarkan : Diploma Psikologi, Diploma Kaunseling, Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Perakaunan, Diploma Muamalat, Sijil Pra Sekolah, Pertanyaan & Memohon klik http://www.hikmah.edu.my/test/e-mohon.php HUBUNGI 013-268 8283 (Pn.SaLeHa)

21 Disember 2009

Tasbih Fatimah



Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

@

Allahu Akbar
Alhamdulillah
Subhanallah

Perbezaan pendapat dalam periwayatan sangat banyak. Kisah Nabi besar SAW juga sering dikhilafkan oleh para sejarawan. Ada yang mengatakan baginda lahir pada 12 Rabiul Awwal dan ada yang meriwayatkan 17 Rabiul Awwal. Justeru, tugas generasi muda hari ini adalah mengkaji balik sejarah Islam untuk memahami agama ini dengan benar dan sahih.

Khilaf lain yang berlaku adalah tarikh wafatnya Sayyidatul an-Nisa’ Fatimah az-Zahra. Setengah riwayat menyebutkan pada 14 Jamadil Awwal 11 Hijrah, ada yang mengatakan 3 Jamadil Akhir dan ini adalah pendapat yang masyhur. Ketika Rasulullah SAW begitu menyayangi puteri tercintanya ini, sebahagian kita - sedihnya - langsung tidak peduli tentang sejarah wanita paling mulia ini.

Sudahnya, jasad mulia itu hilang bersama kuburnya yang entah di mana. Sekarang dia telah wafat, namun bagi sebilangan pencintanya, dia masih bersama mereka. Kisah akhir hidupnya penuh dengan warna suram dan kelabu. Apapun dia telah tinggalkan kita dengan sejarah dan pelajaran mewangi sepanjang zaman.

Salah satu dari lembaran sejarahnya yang penuh carik, kita dapati pernah suatu hari Rasulullah SAW mengajarkan sebuah tasbih yang mulia kepadanya. Fatimah az-Zahra sering mengalunkan zikir ini di hadapan Tuhan dalam kesendiriannya. Menurut sejarah, zikir yang dinamakan ‘Tasbih az-Zahra’ itu memiliki nilai dan kemuliaan tersendiri dalam Islam.

Syeikh Saduq (ra) dalam kitab hadisnya yang masyhur, Man La Yadurruhu al-Faqih membawakan kisah tasbih ini daripada riwayat Amir al-Mukminin Ali (as);

Diriwayatkan daripada Amir al-Mukminin Ali (as), dia berkata kepada seorang lelaki daripada Bani Saad; Mahukah kamu aku ceritakan suatu kisah tentang diriku dan diri Fatimah? Sesungguhnya dia bekerja keras mengangkat air sehingga melecet bahunya, begitu kerap dia menggiling gandum sehingga kasar tapak tangannya, begitu sering dia menyapu rumah sehingga pakaiannya penuh debu, begitu rajin dia menyalakan tungku sehingga bajunya bertukar warna. Begitu aku melihat penderitaannya, aku berkata kepadanya; Adalah sangat wajar andainya engkau pergi ke sisi ayahmu Sang Rasul dan memohon kepadanya seorang pembantu yang akan menolongmu melakukan semua kerja ini.

Fatimah berlalu ke sisi ayahnya. Ketika itu Rasulullah SAW bersama para sahabatnya menyampaikan pesan Islam. Dia merasa malu untuk menyatakan hasratnya lantas pulang ke rumah. Rasulullah SAW mengetahui kedatangan Fatimah dan ada hajat yang ingin disampaikan.

Subuh esoknya, Rasulullah SAW datang ke rumah kami. Ketika itu kami sedang tidur. Assalamualaikum, Rasulullah SAW memberi salam. Kami berdiam diri kerana malu dengan keadaan kami yang sedang tidur. Assalamualaikum, sekali lagi Rasulullah SAW memberi salam dan kami tetap diam. Assalamualaikum, salam baginda untuk kali ketiga. Bimbang baginda akan pergi (kerana kebiasaan baginda apabila telah memberi salam sebanyak tiga kali jika diizinkan baginda masuk dan jika tidak baginda akan pergi), lantas kami menjawab, Wa’alaika as-salam, ya Rasulullah. Silakan masuk.

Maka baginda masuk dan duduk hampir dengan kepala kami. Baginda bertanya; Wahai Fatimah, apakah hajatmu kelmarin dengan Muhammad? Aku takut jika aku tidak menjawab, baginda akan pergi. Lalu aku mendongak kepalaku dan berkata; Demi Tuhan, akan kuceritakan padamu wahai Rasulullah. Sesungguhnya Fatimah bekerja keras mengangkat air sehingga melecet bahunya, begitu kerap dia menggiling gandum sehingga kasar tapak tangannya, begitu sering dia menyapu rumah sehingga pakaiannya penuh debu, begitu rajin dia menyalakan tungku sehingga bajunya bertukar warna. Begitu aku melihat penderitaannya, aku berkata kepadanya; Adalah sangat wajar andainya engkau pergi ke sisi ayahmu dan memohon kepadanya seorang pembantu yang akan menolongmu melakukan semua kerja ini.

Rasulullah SAW lalu bertanya kepada kami; Apakah mahu sekiranya aku ajarkan kepada kalian sesuatu yang lebih baik bagi kalian daripada seorang khadim? Apabila kalian ingin tidur, hendaklah kalian bertakbir (Allahu Akbar) sebanyak tiga puluh empat kali, bertasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan bertahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali.

Fatimah lalu mengeluarkan kepalanya daripada selimut dan berkata; Sungguh aku redha dengan Allah dan RasulNya. Sungguh aku redha dengan Allah dan RasulNya.


Riwayat yang lain menyatakan:

Wahai Fatimah, kuberikan kepadamu sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripada seorang khadim dan dunia beserta seluruh isinya. Bertakbirlah kepada Allah (Allahu Akbar) selepas solat sebanyak tiga puluh empat kali, bertahmidlah kepada Allah (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali, bertasbihlah kepada Allah (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan akhiri semua itu dengan sekali (Laa ilaaha illa Allah). Demikian itu lebih baik bagimu daripada apa yang kamu inginkan dan daripada dunia beserta seluruh isinya. Setelah itu setiap kali selepas solat, Fatimah az-Zahra sentiasa membacanya. Akhirnya tasbih ini dinisbahkan kepadanya sebagai Tasbih Fatimah az-Zahra.

Terdapat sedikit perbezaan antara dua riwayat di atas tentang matan, bilangan dan susunan tasbih tersebut. Yang pertama dibaca sebelum tidur dan urutannya Allahu Akbar, Subahanallah dan Alhamdulillah Tetapi ada riwayat lain mengatakan dibaca setelah solat dan mengakhirkan bacaan tasbih (Subhanallah).









Kita juga sering membaca tasbih ini – walaupun tidak pernah tahu sejarah dan riwayatnya. Hanya saja bilangan dan susunannya sahaja yang berbeza. Kita tidak tahu apakah rahsia tentang bilangan dan tertib dalam ibadah. Kenapa ada yang tiga, ada yang tujuh, ada yang tiga puluh, ada yang sembilan puluh sembilan dan seterusnya. Di sini aqal kita harus berhenti berfikir dan menyerahkan pemahaman kepada kepatuhan hamba. Para ahli makrifat mengatakan setiap bilangan, huruf, abjad dan wujud mempunyai rahsia, kesan dan khasiat tersendiri.

Justeru ketika kita melakukan tasbih ini, bilangan dan susunannya juga harus tepat sebagaimana asalnya. Seorang pesakit, mahu tidak mahu harus mematuhi deskripsi doktor untuk setiap ubat dan pil.

الاعداد ارواح والحروف اشباح, والعداد كأسنان المفتاح, اذا نقصتْ او زادتْ
لا يفتح الباب, والزيادة على العدد المطلوب اسراف, والنقص منه اخْلال


Ketika kita mengetahui bahawa tasbih ini adalah dari Fatimah az-Zahra, maka untuk membacanya juga kita harus mengikuti sebagaimana yang diajarkan oleh Rasul kepadanya. Inilah yang dinamakan sunnah.

Kepada ibunda Fatimah, terima kasih atas apa yang ditinggalkan. Janganlah pernah engkau melupakan kami. Sambungkan benang-benang rindu kami kepada Allah dengan alunan Asma Ilahi ini. Doakan kami untuk kami terus membasahi lidah dan hati kami dengannya. Berilah kami kasihmu untuk kami yang kehilangan tempat mengadu. Tebarkan cahaya senyummu untuk kami lalui hari-hari suram ini. Selimutkan kami dengan ketabahan yang pernah engkau pamerkan melawan kezaliman terhadap keluargamu. Percikkan kami dengan harum ruh lathifahmu untuk kami hiasi diri yang kotor ini. Akan kami pahatkan nama indahmu di dinding hati kami untuk sebuah teladan abadi.

السّلام عليكِ يا سيّدة نساء العالمين, السّلام عليكِ يا والِدَةَِ الحُجَج الناس أجمعين, السّلام عليكِ أيَّتُهَا المظلومة المَمْنُوْعَةُ حقّها, اللهم صل على امتك, وابنة نبيك, وزوجة وصيّ نبيك, صلاةً تُزْلِفُها فوق زُلْفي عبادك المُكَرََّمِين من أهل السماوات وأهل الأرضين

Tiada ulasan: