Untuk Posting Terkini Sila 'Scroll' Ke Bawah

Ingin Menyambung Diploma di Kolej Islam Unik, Daftar di sini

Kolej Dar Al Hikmah menawarkan : Diploma Psikologi, Diploma Kaunseling, Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Perakaunan, Diploma Muamalat, Sijil Pra Sekolah, Pertanyaan & Memohon klik http://www.hikmah.edu.my/test/e-mohon.php HUBUNGI 013-268 8283 (Pn.SaLeHa)

29 Oktober 2009

NILAI KASIH SAYANG

Kasih sayang amat bernilai dalam kehidupan insan. Kuasa inilah yang menggerakkan mereka dari kedukaan, membangunkan mereka dari kelemahan dan menggembirakan mereka. Ibarat bunga-bunga di taman begitu juga kasih sayang adalah bunga kehidupan yang menyegarkan jiwa sepanjang masa. Jika tiada kasih sayang dalam kehidupan manusia yang celik menjalani hidup dengan kegelapan dan segala perkara tidak akan berlaku tanpa adanya kasih dan sayang. Abdullah Nasih Ulwan mengatakan kasih dan sayang mampu membina tamadun manusia dan dapat menyambung kehidupan manusia yang aman dan tenteram.

Objektif kasih sayang haruslah jelas dan sahih, tidak merugikan dunia dan akhirat. Kalau kita cintakan anak-anak misalnya jangan menuruti segala kemahuannya hingga batas agama diseberang Ukhuwah Mahabbah harys disertai dengan maslahah, contohnya kalau kita menyintai adik kita, kita akan memberikan ubat yang pahit tetapi untuk dia sihat.

Kasih sayang tidak terbatas dalam lingkungan uda dan dara sahaja malah ia mempunyai makna yang lebih luas, kasih sayang ibu bapa, keluarga, masyarakat, teman, ilmu, agama, para nabi, dan ahli keluarganya dan sebagainya. Yang penting dan pusat segala kasih sayang adalah kepada Ilahi.

Bagaimanakah cinta kepada manusia dan sesuatu ini akan berkembang dengan baik dan jelasnya?Satu jawapan yang sudah tabii dalam minda kita adalah semakin kita berkasih dengan Ilahi kita akan menambah kasih kita sesama manusia juga. Contohnya seperti dua insan yang mendaki bukit di lereng yang berlainan dan puncaknya adalah Tuhan.

Semakin pencinta ini mendaki, orang yang dikasihi ini juga turut mendaki dan akhirnya kedua-dua akan berjaya sampai ke puncak cinta Ilahi. Ironisnya, kita melihat manusia selalunya hanya mengungkapkan kasih sayang kepada manusia saja tanpa menghubungkan terus kepada Tuhan. Ingatlah kita bahawa kasih sayang yang tulus kepada Allah tidak bererti mengingkari tabiat manusia dan fitrahnya. Kasih kepada Ilahi bererti kita berusaha untuk mengenali Allah, juga pada masa yang sama mengenali diri sendiri sebagai seorang hamba yang lemah. Bila sudah rasa diri adalah hamba, sifat-sifat buruk (mazmumah) secara automatik akan mati dalam jiwa. Rasa sombong, besar diri kerana kehebatan yang dimiliki, pentingkan diri sendiri akan hilang. Maka akan

bergantilah dengan sifat terpuji (mahmudah) yang menjadi pakaian diri. Sifat-sifat terpuji seperti rendah diri, menghormati orang lain, mengambil berat terhadap orang lain, merupakan asas jalinan kasih dan sayang.

Terlintaslah dalam fikiran kita, mengapa harus kita menunjukkan cinta kepada Tuhan, kalau selama ini hanya malang yang menghiasi hidup kita. Dalam setiap apa yang Tuhan turunkan pada kita adalah bukti kasihNya. Di sebalik ujian ada kemanisan yang tersirat. Dengan ujian itu Tuhan mengajak kita untuk bertaubat, bersyukur, merintih kepadaNya sekaligus membuktikan kasih kita kepadaNya, Ambillah kasih sayang Tuhan ini kepada kita.

Sekarang kita ingin menyingkap tabir yang menghalangi hati nurani kita untuk cinta kepada Allah. Tabir pertama adalah maksiat yang membuat hati berkarat. Sekali manusia berbuat dosa akan terbentuk satu noda dalam hatinya. Bila ia tidak segera bertaubat, noda ini akan semakin tersebar ke dalam hati, sehingga hati itu hilang akan sinarnya dan menutup ingatan kita kepada Tuhan. Tabir yang lain adalah cinta dunia dan pergantungan terhadap dunia. Allah tidak menjadikan dua buah hati dalam diri manusia. Nabi berkata : tidak berkumpul dalam hati anak adam dua perkara dalam satu masa. Ini bermaksud kita tidak boleh mengumpulkan satu perkara dalam satu masa, dalam erti pengertian kasih yang sebenar, kita harus memusatkan cinta kita kepada Allah, dan kemudian mengembangkannya dalam setiap perkara yang kita cintai iaitu keluarga, ilmu, harta dan sebagainya.

Apabila kita disibukkan dengan urusan dunia dan menganggap ia adalah penting maka seluruh hati kita akan terhapus dari kenikmatan cinta kepada Allah. Kita tidak akan merasa manisnya cinta dan zikir kepada Allah. Contohnya dalam lingkungan kehidupan pelajar yang sibuk dengan assignment, persatuan, ujian bulanan, dan sebagainya. Jika kita tidak menganggap semua perkara ini datangnya dari Tuhan maka hati kita tidak akan lalai dariNya.

Jika kita sudah termampu menyelami cinta yang sebenar, maka hati yang indah dengan sinar makrifat telah terpancar di hati kita, maka berhembuslah angin kasih ini untuk menikmati lindungan Tuhan. Kita mula menyintai apa yang dicintai oleh kekasih dan akan benci apa yang tidak disukainya. Kita mencintai Nabi Muhammad kerana dia adalah kekasih Allah dan kita mencintai keluarga nabi kerana nabi menyintai mereka. Cinta kepada nabi dan para ulama serta orang yang soleh juga mampu untuk kita menyucikan hati dalam konteks mencapai perhubungan vertikal tinggi ke langit samawi kita tidak dapat lari daripada hubungan kasih secara horizon di atas muka bumi.

Kasih sayang akan menumbuhkan jiwa dan hati yang indah. Dengan kasih sayang akan lahirlah cinta,rindu,ketenangan dan sebagainya. Apa yang penting ke mana kita ingin membawa kasih sayang ini. Kasih sayang kepada Allah atau kasih sayang kerana Allah. Pilihlah salah satu di antaranya atau lebih sempurna kalau kita memilih kedua-duanya. Marilah kita berkasih sayang dengan hati yang indah, anggun dan menawan.

Al-Rumi seorang penyair sufi terkenal menghalusi mata hatinya dengan kata-kata ini :
Aku memohon kekuatan dn Tuhan memberikanku kesulitan untuk menjadikan ku gagah, aku memohon cinta dan Tuhan memberikanku mereka yang bermasalah untukku cari penawar duka, aku memohon keteguhan hati dan Tuhan memberiku bahaya untukku atasi,justeru,aku tidak mmperolehi apa yang kuimpikan, namun aku mendapat segala apa yang kuinginkan.”

ARTIKEL INI SAYA TULIS DAN TERBIT DI DALAM MAJALAH FAJAR TAHUN 2003 @)))--

Tiada ulasan: