artikel pendek ini dikeluarkan di dalam buku JAWHAR jilid 4 bil.2 jun/julai 2007:
Apa itu pencerahan, Immanuel Kant. Terjemahan oleh Pauline Fan. Institute Kajian Dasar: Kuala Lumpur, 2006. 36 halaman. ISBN: 983-884-081-5.
Buku yang hanya mengandungi 36 halaman ini bukanlah buku yang mudah untuk difahami. Penuh dengan kenyataan yang perlu diamati dengan mendalam dan penuh kritis untuk memahami dengan sebaiknya (walaupun tidak menuntut dengan gurunya). Di ruang kata penghantar menceritakan tentang sejarah hidup Kant dan sejarah sekitar bagaimana zaman pencerahan ini berlaku.Kant adalah ahli falsafah terulung baik di Timur dan di Barat. Beliau memperkenalkan falsafah kritis melalui tiga mahakarya kritik: kritik der reinan vernunft (kritik terhadap akal murni), kritik der praktischen vernunft (kritik terhadap akal amali) dan kritik der urteilskraft (kritik terhadap penilaian). Kritik terhadap akal murni ditulis selepas muncul dari tahun kesenyapan. Tahun kesenyapan adalah tahun di mana beliau tidak menulis dan lebih sibuk merenung persoalan hubungan antara daya pancaindera dan daya akal manusia.
Semasa berada di pengajian ijazah, nama ini dimaklumi sebagai seorang ahli falsafah yang menerangkan makna-makna moral dan etika. Beliau lahir pada 1724 di Konigsberg, ibu kota Prussia Timur. Kant menerima didika Pietist yang menegaskan pembelajaran agama dan bahasa Latin. Pietism adalah sebuah gerakan pembaharuan Lutheran yang mengutamakan kesalihan dan sifat rendah hati. Penganut pietisme, satu golongan dalam mazhab Lutheran yang menekankan agama hati, kesucian hati dan pembersihan akhlak dari penggunaan akala. Pada usia 16 tahun pelajarannya di dalam bidang falsafah di University Konigsberg tertangguh akibat kematian ayahnya yang menjadi sumber rezeki pendapatan keluarga. Beliau menjadi guru sambilan di pekan-pekan sekitar Konigsberg. Kemudian dilantik menjadi Professor Logik dan Metafizik di Universiti Konigsberg pada 1770.Zaman pencerahan pula muncul selepas perdamaian Westphalia (1648). Perdamaian Westphalia adalah titik tolak berakhirnya peperangan agama di Eropah yang berlaku selama 30 tahun. Ketenteraman menyediakan suasana dan ruang yang merangsang akal untuk berfikir. Perang yang berpunca dari kefanatikan beragama dan cara beragama yang menggunakan akal menyebabkan keyakinan agama para pemikir zaman moden Eropah terhakis. Justeru, mereka lebih mempercayai akal dari wahyu. Sikap ini ternyata terserlah pada Voltaire, seorang pemikir pencerahan Perancis yang paling berpengaruh. Beliau percaya adanya Tuhan, tetapi tidak percaya pada wahyu dan perkara ghaib.
Kant adalah filasuf pencerahan yang terakhir dan teragung dan amat dipengaruhi oleh perkembangan sains dan menganggap falsafahnya sebagai gandingan epistemology kepada revolusi Corpernilus dalam bidang sains astronomi. Kant juga membina system falsafah yang meliputi system moral dan asas-asasnya pada hati nurani manusia.
Wasist Aufklarung (Apa itu Pencerahan?) merupakan satu pengalaman peribadi, keberanian untuk membebaskan diri sendiri dari konkongan ketidakmatangan. Kesan dari agama anutannya yang tidak memberi penekanan kepada akal, Kant yang sejak muda memiliki akal kritis dan berjaya membebaskan diri dari konkongan awal.
Para falsafah yang menolak projek pencerahan Kant adalah Hamann (kawan baik) dan Johann Gotfried (anak murid yang paling berbakat). Mereka melihat gagasan Pencerahan secara spontan, tanpa berfikir, tanpa membuat pertimbangan, dan tindakan tersebut adalah dalam lingkungan norma dan peraturan yang diterima turun menurun. Mereka melakukan konsepsi kemanusiaan yang lebih integral atau lengkap. Ini kerana kehidupan dan pengalaman manusia adalah lebih rencam.Sapere aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri! Itulah cogankata Pencerahan. Menurut kant, akal yang tidak berfungsi kerana kurang azam dan keberaniaan. Manusia lebih selesa berada dalam lingkungan tidakmatang dan menganggap jejak langkah menuju kematangan suatu yang amat menyusahkan dan bahaya.
Kesimpulannya, pencerahan membebaskan tenaga pikiran manusia yang membeku di dalam sel darah-darah. Neuron yang tidak cekap bertindakbalas mempamerkan akal dan idea yang malam dan hambar. Maka pencerahan……Kewarasan dan keinsafan fikiran dan tulisan Kant jelas dilihat dalam ayat nisannya: “Dua perkara semakin menyegarkan fikiran dengan kekaguman dan ketakjuban, semakin lama dan semakin mendalam saya merenungkannya: bintang-bintang di kayangan dan hukum susila batin”. Semoga makna pencerahan meyerapi urat nadi segenap kita agar yang suram menjadi cerah, yang gelap menjadi terang dan yang beku menjadi cair mengalir di sumur pencerahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan