Jika di Malaysia, 10 Ramadhan adalah malam2 yang semakin suri rumah sibuk membuat kuih raya, berfikir tentang dekorasi rumah.
Di masjid atau surau, semakin lekang makmum-makmum yang suatu masa dulu berduyun-duyun ke masjid. Ayah-ayah terpaksa menghantar anak-anak dan isteri mencari barang untuk berhari raya. Semua tahu kelebihan lailatul Qadr, tapi tidak mampu menepis kekangan lain yang dihadapi.
Hari ini saya ingin membawa cerita "SUATU MALAM DI SUDUT MASJID" untuk santapan hari ini.
Sepuluh hari terakhir Ramadhan, ketika hari-hari terakhir bulan suci mulai boleh dihitung dengan jari tangan dan hasrat untuk bersimpuh di sisi Tuhan mulai merasuk, diam-diam tiga orang lelaki menemukan diri mereka melewati sepertiga malam terakhirnya di sebuah masjid yang sama.
Masjid tempat ketiga lelaki itu beriktikaf sesungguhnya hanya sebuah masjid kecil di kaki gunung yang amat biasa. Ia tak lekang oleh dingin yang menusuk dan kesepian yang mencengkam. Ketiga lelaki itu sendiri sebenarnya masih cukup kuat untuk mengunjungi masjid-masjid lain yang lebih besar, megah dan dipenuhi jamaah tetapi mereka tidak melakukannya. Masjid itu amat sederhana, yang sebenarnya lebih mewakili ruang dalam diri mereka yang juga amat sederhana, yang sering merasakan pedih tusukan kenyataan seharian yang pahit, sunyi dan sebagaimana adanya.
Kesunyian pun saling menyapa di antara ketiga lelaki itu.
Kesunyian pertama adalah kesunyian seorang pemimpin persatuan yang gelisah mencari rukuknya, ketika didapati isterinya sering membukakannya pintu dengan mata berkaca-kaca.
Kesunyian kedua adalah kesunyian seorang anak yang gelisah dalam zikirnya, yang hanya berteman dengan kecamuk batin yang dideritanya sejak lama kerana gagal membahagiakan ibu dan neneknya.
Sedangkan kesunyian ketiga adalah kesunyian seseorang pemuda yang gelisah di hadapan Al-Quran yang dibacanya, ketika ada mawar sedang mekar dalam hatinya dan dia tahu bahawa seharusnya, dia mengarahkan cintanya kepada Allah saja, tetapi hatinya tidak mampu menepis kehadiran seorang perempuan yang dengan santun telah mengisi kekosongan jiwanya.
"Saya ingat isteri saya," kata lelaki pertama, "seorang perempuan yang diamnya menggugat kemampuan saya untuk membahagiakan hatinya, sementara di meja mesyuarat organisasi, semua orang mampu saya buat mereka bersemangat dan tertawa.
"Saya ingat ibu saya," kata lelaki kedua, "seorang perempuan yang selalu sabar mengasuh dan membesarkan saya hingga saya sampai di sini, begini; mengenal sejadah dan bersujud. Tapi kehilangannya betul-betul memukul jiwa saya kerana saya belum pernah jujur menghargainya sebelum pemergiannya."
Lelaki ketiga pun berkata, "Dan saya ingat seorang perempuan, yang selalu mengingatkan saya untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, hingga saya selalu ingin bertemu kerana wajahnya yang sering melewati tidur dan mimpi saya, bahkan hadir dalam jaga!"
Malam itu, tiga orang lelaki berbincang tentang diri mereka dalam raga yang lain, yang adalah perempuan isteri, perempuan ibu, dan perempuan kekasih mereka.
Tetapi, ketika sujud-sujud dipanjangkan, gugatan pun sirna dalam cinta, dan cinta pun membakar dirinya sendiri dalam kesyukuran kepada Sang Pencipta. Tidak ada yang tahu dengan jelas ketinggian perjalanan mereka malam itu dalam menembus langit jiwa masing-masing. Yang pasti, dinding masjid itu bersaksi, bahawa mereka telah meletakkan perempuan-perempuan yang mereka cintai sebagai tangga yang ditapaki dengan ketakziman berzikir, hanya bagi kesujudan terpenuh kepadaNya. Ini sebuah sikap batin yang amat mungkin membuat semesta menyingkapkan puncak cahayaNya. Benarlah Ibnu Arabi, kehadiran perempuan itu adalah tajalli keindahan Ilahi di muka bumi.
* Cerita di atas , adalah cerita tentang kuasa seorang yang bernama 'perempuan' yang bisa mengubah seorang lelaki. Seperti Adam yang mempengaruhi Hawa untuk memakan khuldi lalu merubah keadaaan Adam. Wanita adalah segalanya!......
Maka wanita adalah agen perubahan. Maka.....adakah di Malaysia kurangnya beramal di akhir2 Ramadhan kerana perempuan juga?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan