Untuk Posting Terkini Sila 'Scroll' Ke Bawah

Ingin Menyambung Diploma di Kolej Islam Unik, Daftar di sini

Kolej Dar Al Hikmah menawarkan : Diploma Psikologi, Diploma Kaunseling, Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Perakaunan, Diploma Muamalat, Sijil Pra Sekolah, Pertanyaan & Memohon klik http://www.hikmah.edu.my/test/e-mohon.php HUBUNGI 013-268 8283 (Pn.SaLeHa)

23 Julai 2010

Peminat Ayat-Ayat Jiwang

Salam

Hari ini saya nak cerita tentang minat saya terhadap sastera dan ayat-ayat yang indah.

Baru-baru ini saya seringkali berdampingan dengan blog-blog sasterawan negara A. Samad Said. Seingat saya , saya pernah bertemu dengannya (tapi tak sempat ambil tandatangan) di UIA 5 tahun yang lalu. Semasa itu ada MALAM UNTUK IQBAL.....

Saya sudah membuka buku-buku yang berkaitan sastera adalah sejak darjah 3 lagi. Semasa itu saya tekun meneliti ayat-ayat dan isi kandungan dari buku-buku sastera abang saya di tingkatan 5. Saya tak faham cara kata-kata itu ditulus, dan saya bertanyakan abang. "Kenapa diorang tulis buku ayat macam ni". Dan abang terangkan. Dari situ minat saya terhadap ayat2 puitis menjelma.

Tambahan pula semasa di tingkatan 1 ada seorang jejaka minat kat saya. Dia rajin tulis surat dengan ayat2 jiwang. Dari situ saya belajar kata2 yang puitis dan jiwang.

Dan, semasa kenal dengan suami saya pun, tulisannya adalah yang indah-indah dan penulisan nya agak berpuitis.

Dan kini, saya bekerja di Kolej yang Presidennya suka berkata hikmah dan ayat2 ucapan danpenulisannya juga enak dibaca.

Kini, saya persembahkan satu tulisan dari A. Samad Said yang saya ambil dari blognya http://wirabukit.com/. Saya amat menyukai membaca tulisan A. Samad Said dan artikel di bawah adalah yang saya suka.

Harap semua orang boleh memupuk minat membaca yang mendalam. Ingat, Islam diturunkan kepada Umat melalui Muhammad dengan perantaraan Jibril. Dan ayat pertama : IQRA'. Maka, BACALAH!

Mendengar Ombak Di Pantai Qalbu
February 18th, 2010 SAYA memanglah seorang pembaca buku yang lambat. Kurang tepat—saya adalah pengunyah buku yang lumat—atau mungkin, lebih tepat: saya adalah peleka buku sepenuh nikmat.

Benar, saya bukanlah pembaca yang pelari. Bukan kerana saya tidak ingin cepat tiba ke akhir buku, tapi lebih kerana saya ingin lama bersapa—dan mendakap—setiap kata yang berlinang nikmat.

Kata-kata adalah kerdip fikir dan bisik tafsir; kata-kata juga adalah titian seni ke ilmu murni. Makanya, mengapa harus gopoh berlari, meninggal atau tertinggal pesan yang sakti? Mengapa tidak cuba sabar dan tekun berhenti, khusyuk meneliti, daripada hanya melihat (atau terlihat) imbas pepohon, kabus jendela atau kelibat insan!

Ketika membaca, saya ingin benar menikmati permata ilmu, dan lebih bermakna, jika saya dapat juga mendengar debur ombak di pantai qalbu. Juga, mendengar senandung alam semesta.

Selalunya, serentak saya mengunyah tiga empat buku (ia boleh suara Tariq Ramadan atau telahan J. Esposito; ia juga boleh bentak Ravi Batra atau deklamasi Rendra). Saya menikmati setiap yang dilihat, mendengar getar irama kekata, menekuni degup qalbu syahdu berseru, juga belajar menggali falsafi baru.

Buku yang baik—tua dipandang, muda disayang. Setiap halamannya adalah pepintu baru, penyegar bijak, pendidik luhur, pendekat matlamat. Buku itu pengalaman. Jika berduka isi, ia sepantun lelaki sedu atau wanita pilu. Jika bergelora isi, ia adalah pelaut di gelombang atau pendaki di puncak suram.

Begitulah sesedikitnya—kalau benarlah sedikit—jasa buku terpilih. Ia lambat dibaca, tapi amat bergema gaungnya. Dan dalam khusyuk tertentu buku menyemai mimpi yang dahsyat, menuai celek yang nikmat.

Cuma, elakkanlah musim jemu—seperti dijauhkan saya dari pengkhianat, buku tebal yang tipis. Sebaiknya, curahilah saya halaman nan wangi—seperti dekatkan saya kepada adegan terindah, buku yang tipis tapi yang sasa.

Makanya, temukan saya khazanah Usman; pimpin saya ke rubaiyat Khayam; dekatkan saya ke api Rumi; syahdui saya ke ayat suci. Dan jangan lupa, jauhkan saya dari kuasawan licik, niagawan berpeta dan bangsawan pelupa!

Begitulah ragam saya membaca. Berbisik yang lambat, mengunyah yang lumat.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Mana perginya web A.Samad Said.....??