Hospital Serdang, 22 Rajab = 24 Jun (Jumaat):
Pada minggu lepas kami sudah dapat tahu Dato` Dr. Siddiq Fadhil dimasukkan ke Hospital Serdang, kerana dikatakan diserang `Minor Heart Attack` dan dimasukkan ke ICU Hospital Serdang. Tetapi untuk seminggu lepas. Doktor tidak menggalakkan pengunjung-pengunjung mengunjunginya, kerana takut berlaku jangkitan kuman dan gangguan.
Petang ini Lajnah Kebajikan Adun mengatur program untuk lawatan menziarah Dato` Dr. Siddiq Fadhil yang sudah keluar dari ICU dan ditempatkan di ward biasa. Kami pergi berasingan dan berjanji berjumpa di lobi hospital, Yang hadir antaranya ialah saudara Azmi, Azizi, Harun, Ustaz Hashim dan beberapa yang lain lagi. Adun datang menziarah bukan sekadar Dato` Dr. Siddiq Fadhil tinggal di Dun Bangi, tetapi lebih kepada sahabat yang sekian lama terjalin. Kami bersama ketika membuat tesis di bawah Profesor Dr. Syed Naquib al-Attas di IBKKM, UKM. Sama sejabatan mengajar di UKM. Beliau terkenal sebagai Bekas Pemimpin Pelajar dan pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Sama-sama mencapai kerjaya sebagai Profesor Madya. Bila Adun keluar dari UKM dan melibatkan diri dalam politik, Dato` Dr. Siddiq Fadhil memimpin institusi Pengajian Tinggi sebagai Presiden Kolej Dar Al-Hikmah di Sungai Ramal, Kajang hingga kini.
Dato` Dr. Siddiq bijak berpidato dan pandai menghidupkan suasana dengan humor dan gurauan yang mentertawakan. Ketika kami tiba di tingkat lapan itu, beliau berada di atas katil. Kami bersalam dan bertanya khabar tentang sakit yang dialami. Kata beliau,
``Lebih seminggu sebagai Ultra wireman.`Kami ketawa.
`Sekarang al-hamdulillah tidak lagi berwire,` gurau Adun.
`Ini masih ada, masih lagi wireman, kalaupun tidak lagi ultra wireman`` beliau menunjukkan wire yang dipakainya. Beliau istilahkan sebagai `belalai` disambung ke hidungnya dari peralatan. Sahabat-sahabat ketawa.
Kerja wireman menyambung tenaga yang terputus, tapi wire ini tidak dapat mengesan mengapa tak dapat menelan, kata Dato` Dr Siddiq merujuk kepada antara sakit yang dialaminya.
``Tapi melalui wire itu disalur susu. Besar juga fungsinya,`` antara sahabat mencelah cakap.
`Tapi Yang Lebih Besar, ialah Yang Memberi Peluang, masih dapat disalurkan susu untuk menyambung hayat !.` Beliau bermadah, `Begitu rapuh hidup kita, sedikit rosak terganggu hidup,` tambahnya.
``Kembali semula macm anak kecil,`` kata Adun merujuk kepada kebergantungan pada minuman susu – masih tidak dapat makan yang lain.
Beliau menjawab secara bergurau, `Ya budak, tapi budak tua yang boleh pergi bila-bila masa !` ramai-ramai ketawa.
Bagi mengurangkan tekanan keadaan Adun berkata, Tapi al-Hamdulillah semakin sihat, Tuhan beri inta kemudahan bercakap. Ada yang diserang sakit terus tidak bercakap.``
`Al-hamdulillah saya bersyukur, walaupun sakit, tidak lupa ingatan dan tidak sampai tidak dapat bercakap.`` kata beliau sebagai pernyataan syukur.
Adun menambah, `Kerana inta memang professional bercakap, maka Tuhan kekalkan rahmat-Nya inta dapat bercakap.`` kata Adun.
`Ya, bersyukur, walaupun hilang sedikit nikmat kesihatan, sekurang-kurang dapat berzikir di mulut, di hati dan minda.`` katanya.
Memang di atas ribanya seuntai tasbih yang jari-jarinya bergerak membilang tasbih sekali sekala, walaupun sedang berbicara dengan kami.``
Tatkala kami memohon izin berundur dengan menyampaikan sedikit buah-buahan sebagai cendera hati, beliau bergurau lagi,
`Rezeki orang sihat menumpang pada orang sakit,` Kami ketawa, termasuk isteri dan anak-anaknya yang hadir menunggunya.
Kami bergembira, dari suasana di atas menunjukkan Dato` Dr. Siddiq makin sembuh. Walaupun dalam keadaan sakit beliau ceria menerima kami, bahkan kami sering berderai ketawa !
Semoga Allah menyegerakan Dato` Dr. Siddiq Fadhil sembuh dan dapat kembali berkhidmat kepada masyarakat. Insya Allah.
Sumber di sini
1 ulasan:
amin...
semoga dato d brikan kshatan...
ummah msh mmrlukan orng yg smacam dato...
yaALLAH engkau smbuhkanlah dato siddiq...
Catat Ulasan